Sempena cuti summer 2014, Persatuan Arif France anjurkan Pertandingan Travelog dan juga Photographi. Sound nice isn't ? Haha. So, aku pun decide lah nak join. Since, memang aku keluar voyage pun. Ambik masa lebih kurang dua hari jugak lah nak karang cerpen pendek 1500 perkataan ni.
Niat asal menulis memang just sebab nak share pengalaman jalan jalan aje dengan readers. Sekali termenang plak. Haha rezeki betul. Alhamdulillah. Thanks Arif France. Tempat ketiga pun boleh lah. Dapat free coupon beli kat Amazon. Perghhhh. So kalau berminat nak baca cerpen, boleh terus ke bawah. Panjang sikit. Maaf lah ya kalau boring. Hehe.
JOM BACA JOM CERPEN PERTAMAKU
Seusai kelas bahasa tiga jam. Laju aku meluru keluar dari kelas. Tak mampu lagi hadam pembelajaran hari ni. Kepala berserabut, dahi berkerut, senyuman dah keriput, fikiran pun dah hanyut. Rasa mahu terbang ke Amsterdam saat itu juga. Sebaik keluar pintu kampus, telefonku bergetar menandakan ada panggilan masuk. Panggilan dari Abah. Setelah bertukar-tukar khabar berita...
“Adik, betul ke nak pergi jalan-jalan minggu depan. Yakin nak ke Amsterdam ?”
“Tiket dan hotel semua dah beli Abah. Yakin yakin.” Jawabku selamba.
Ya, aku berpura-pura selamba, sedangkan hati berombak. Aneh. Kenapa nada Abah macam kurang yakin nak lepaskan aku ? Diamku panjang. Abah sambung lagi ;
“ Takpelah adik nak pergi mana pun. Abah bagi. Yang penting, solat awal
waktu. Jaga diri. Pergi dengan kawan non-Muslim kan ? Tunjuk contoh baik. Sama-sama
jaga. Jalan-jalan juga, ambil ibrah jangan lupa. Bukan hanya jalan-jalan habiskan
duit, habiskan masa. Kumpul pengalaman sebanyak boleh. You are the chosen one,
dik. Jaga diri. Sampaikan salam kat kawan-kawan... Okay, Abah tidur dulu. Lewat
malam dah ni. Love you. ”
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Tiba di Kota Amsterdam, bersama seorang rakan senegara Muslim, kupanggil Aliya, juga seorang lagi rakan bukan Islam bukan dari Malaysia, Jenny. Pesanan Abah kusemat di hati.
Ini percutian pertamaku dengan kawan non-muslim yang tidak dibesarkan dengan persekitaran Islam. Sudah tentu banyak yang berbeza sepanjang percutian kami nanti, bermula dengan pemilihan restoran, waktu ‘rehat’ untuk kami bertemu janji dengan Allah juga segala perilaku kami mungkin menjadi persoalan di benaknya. Kenapa Muslim begitu ? Kenapa tidak begini ? Gementar juga ditembak soalan bertubi-tubi nanti. Mungkin itulah yang dirisaukan Abah. Hurmm. Keyakinan diri aku jatuh merudum, di tahap kritikal. Mungkin tersedar bahawa diri aku masih cetek ilmu berkenaan Islam. Kuteruskan juga percutian. Moga dipermudahkan.
“Apabila engkau
telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh Allah
mencintai orang-orang yang bertaqwa”
{Ali-Imran : 159}
Hari pertama percutian, kami mulakan dengan berjalan di sekitar hotel kami. Mata kami tertumpu kepada basikal di jalan raya di dalam kuantiti yang amat banyak. Sangat meluas penggunaan basikal di Kota Amsterdam. Belanda terkenal sebagai ‘Bike Capital City of The World’. Patutlah. Majoriti rakyat di sana memilih basikal sebagai kenderaan utama tanpa mengira jantina dan usia. Wanita yang kami kira sudah agak berusia, mungkin berstatus nenek pun masih kuat mengayuh basikal. Subhannallah, menakjubkan! Di jalan, mereka umpama raja. Pernah juga beberapa kali kami dikejutkan oleh bunyi bingit loceng basikal “Cing... Cing... Cing...” sipi-sipi di gendang telinga. Rupanya kami tersalah menapak di laluan pengayuh basikal. Laju kami membetulkan langkah ke laluan pejalan kaki. Pengajaran pertama buat kami. Peringatan sebelum dilanggar basikal atau kami yang yang melanggar mereka.
Basikal yang kami sewa untuk menjelajah sekitar Pekan kecil Zaase Schanse. |
Kemudian, kami meneruskan lagi penerokaan. Muzium Van Gogh menjadi tempat persinggahan kami yang pertama. Muzium tersebut menempatkan ratusan hasil lukisan tangan Vincent Willen van Gogh, pelukis muda yang sangat berbakat. Setiap lukisannya mempunyai nilai emosi dan cerita tersendiri. Pengakhiran hidupnya di picu senapang di tangan sendiri kerana sedikit masalah mental amat menyentuh hati kami. Agak lama aku dan Aliya terdiam. Mungkin masing-masing memikirkan bagaimana pula pengakhiran hidup kami nanti ? Sekelip mata Allah boleh tarik nikmat yang dipinjamkanNya. Allahu. Beberapa maklumat penting sempat ku catat, mungkin ada yang boleh dikongsi bersama sahabat yang lain nanti.
Setelah habis melawati dan melewati beberapa muzium, kami melangkah pula ke tugu tulisan Iamsterdam yang pasti dilawati kalau ke Amsterdam. Aku kagum dengan persekitaran kota Amsterdam yang sangat bersih walaupun dihujani dengan pelancong. Lensa kamera tidak henti-henti berfungsi. Aisehh perempuan dan selfie memang tak dapat dipisahkan. Hehe. Maafkan kami. Memori harus dirakam sebagai memori kemudian hari.
Jam menginjak ke angka empat petang. Cepatnya masa bergerak, menghampiri waktu Asar. Aku dan Aliya harus ke masjid. Memang itu termasuk dalam perancangan kami untuk cuba berjamaah di Masjid. Semampu boleh. Sungguh, kami rindu suasana masjid. Iya, masjid yang betul-betul masjid. Punya jamaah yang ramah berbalas senyuman, punya anak muda yang menghidupkan masjid dengan alunan ayat suci Kalamullah. Dan pastinya punya ketenangan kuasa dua.
Tetapi, aku dan Aliya agak bingung menyusun ayat untuk memaklumkan kepada Jenny bahawa kami harus ke masjid, bertemu Sang Pencipta. Nampak remeh saja, tapi rupanya agak sulit untuk dilaksana. Iyalah, bimbang juga nanti ditolak mentah-mentah. Siang masih panjang, takkanlah sudah mahu menghentikan jalan-jalan ? Mood jalan-jalan sudah di puncak, mahu hentikan rasa lain macam pula. Lagipun, masih banyak monumen dalam senarai yang belum kami lawati. Aku keliru, namun aku bersyukur Allah takdirkan Aliya menjadi teman percutianku. Seorang sahabat yang tegas di sebalik kelembutannya.
“Nak buat benda baik, jangan teragak-agak ye Nina. Jom. Aku
cuba explain dekat Jenny yang kita kena gerak ke masjid untuk solat. Tanggungjawab
kami sebagai Muslim. Yakin jom, Nina.Tapi kalau aku tergagap-gagap ke apa, kau
tolong lah ya” kata Aliya kepadaku, sempat lagi
berseloroh.
“Tidaklah Ku
ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada Ku”
{Adz-Dzariyat : 56}
Seterusnya, aku dan Aliya beransur ke Masjid AlFatteh di perkampungan kecil Muslim di pinggir Kota Amsterdam. Manakala Jenny mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan di taman bunga sekitar Amsterdam. Pelawaan kami mengajak Jenny bersama ke masjid hanya dibalas dengan senyuman manisnya. Aku dan Aliya membalas juga dengan senyuman. Mungkin belum tiba masanya, detik hati kecilku. Ditakdirkan hari kedua percutian kami adalah 1 Rejab. Terima kasih kepada sahabat laman sosial yang mengingatkan kebesaran puasa di bulan Rejab. Eh berguna juga Facebok ya. Lol. Puasa 1 Rejab ni bersamaan 900 hari berpuasa. Sekali lagi aku dan Aliya gusar.AllahuAkbar ! Besarnya ganjaran. Rugi kalau disiakan. Lagi rugi kalau lepaskan peluang ini atas sebab yang remeh. Sekali lagi kami berperang dengan perasaan sendiri. Ikut hati mati. Kami terdiam lagi. Akhirnya...
“Jenny, esok jangan lupa bawa bekalan makanan.
Boleh makan nanti.” Pesanku kepada Jenny sebagai persiapan untuk kembara
keesokkan harinya.
Aku dan Aliya akhirnya bersepakat untuk berpuasa. Perancangan untuk ke Zaanse Schanse melihat kincir angin Belanda diteruskan seperti dirancang. Menapak langkah demi langkah dengan penuh tenaga. Almaklumlah masih awal lagi. Moga diberi kekuatan sehingga jam sembilan malam nanti, waktu berbuka. Amin. Sambil berjalan menikmati suasana tenang di perkampungan kincir angin tersebut, aku dan Aliya sempat juga berborak dengan Jenny tentang perihal Islam. Mungkin ini masanya, untuk memperkenalkan agama yang syumul ini.
“Jom duduk-duduk di bangku sana. Boleh awak makan, Jenny”. Aku mula mengatur bicara. Rasa kejam pula kalau abaikan Jenny tanpa menjamah apa-apa juadah sedari pagi tadi. Nampak juga riak muka Jenny, seakan rasa bersalah mengunyah biskut Oat Cracker enak di hadapan kami berdua. Sekuntum senyum kami hulurkan seakan memberi kebenaran kepadanya untuk teruskan menjamah biskut juga sebotol air mineral.
Seterusnya, aku mencuit adab-adab makan yang disarankan untuk semua.“Dalam Islam, kalau kita makan sambil duduk pun dah dapat pahala. Best kan ! “ Tambahku lagi. Tidak lupa kuselitkan penjelasan saintifik setelah melihat kerut di wajah Jenny yang seakan mahu penjelasan yang lebih lanjut perkaitan antara duduk dan makan. Aku cuba menjelaskan sedikit demi sedikit tentang keburukan makan sambil berdiri yang boleh membahayakan sistem percernaan kerana mampu melemahkan dinding usus manusia akibat hentakan makanan secara terus ke bawah. Lebih-lebih lagi dengan adanya tarikan graviti. Jenny menggangguk-anggukkan kepala tanda faham.
Aliya tersenyum melihat gaya aku berbicara yang tergagap-gagap menggunakan terma-terma sains dalam bahasa Perancis. Almaklumlah apabila cikgu bahasa berbicara perihal sains, mungkin itu yang mencuit hati Aliya. Sejujurnya, aku bukanlah otak sains. Tapi, ditakdirkan Allah, aku terbaca satu artikel penjelasan pemakanan menurut Islam beberapa hari sebelum keberangkatan kami ke kota Amsterdam sekaligus membenarkan aku berkongsi pendapat dengan Jenny. Kalau tidak, memang mati kutu juga dibuatnya.
Terima
kasih Allah, permudahkan urusanku ! Aturan Allah, tiada siapa tahu.
Tanpa disedari, banyak pengajaran yang kuperoleh selama tiga hari percutian kota negara Belanda itu. Kepuasan dapat, ketenangan pun dapat. Jaulah yang mampu mengeratkan hubungan kami walaupun berlainan agama, negara dan seharusnya berbeza bahasa ibunda. Bunga tulip yang kembang mekar pasti sentiasa diingatanku. Percutian kali ini kurasakan lebih meninggalkan kesan di hati. Lain kali jumpa lagi Amsterdam !
XOXO
No comments:
Post a Comment